Isnin, 6 Disember 2010

PERTANDINGAN FUTSAL PARLIMEN NEGERI JOHOR DI JB

4, 5 & 6hb Disember 2010 - Pasukan Geliga FC Bwh 12 thn telah mewakili Parlimen Pagoh ke Pertandingan Futsal Parlimen Negeri Johor di Johor Bahru.


Tahniah diucapkan kepada Geliga FC Bwh 12 thn kerana berjaya menempatkan dalam kelompok 4 pasukan terbaik Negeri Johor.

PROGRAM KESELAMATAN DAN PENCEGAHAN JENAYAH (CRIME AWARENESS TEAM)

4 Disember 2010 - Telah berlangsung program yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Muar, Majlis Belia Daerah Ledang, PDRM, AADK dan Persatuan Belia Geliga Gersik (PBGG) bertempat di Dewan Geliga Gersik.


Program bermula agak lewat dari jadual disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan dengan hujan yang turun sejak awal pagi. Walaubagaimanapun atas dasar semangat yang tinggi, ahli-ahli PBGG sanggup datang meredah hujan demi menjayakan program tersebut.

Sesi program dipengerusikan oleh Pegawai Belia Daerah Muar, En. Supian B. Hasan dan terbahagi kepada 2 iaitu Sesi bersama PDRM oleh ASP Tuan Azmi B. Hj. Ali dan Sesi bersama AADK oleh En. Mohd. Fauzi B. Sulaiman dimana banyak maklumat yang dapat dikongsi bersama antaranya ialah 'antara mabuk dan khayal serta kesan dan kaitannya'.

Seterusnya, ahli-ahli PBGG mendaftar sebagai Skuad Rakan Muda RELA dan Skuad Crime Awareness Team dimana PBGG berfungsi untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah. Ahli juga diajak untuk mendaftar sebagai RAKAN COP secara SMS dan berpeluang untuk mengikuti Perhimpunan ahli Rakan Cop di Johor Bahru pada 30/12/2010 secara percuma.

Akhir sekali, PBGG disaran untuk mengekalkan kadar jenayah yang rendah di Gersik meliputi semua aspek termasuk jenayah kepada diri sendiri.

PBGG juga ingin mengucapkan tahniah kepada ahli yang sudi hadir memberikan sokongan kepada program ini selain jutaan terima kasih diatas kehadiran penganjur bersama iaitu En. Supian B. Hasan (Pej. Belia Dan Sukan Daerah Muar), En. Mokhtar B. Daud (Pengerusi Majlis Belia Daerah Ledang), ASP Tuan Azmi B. Hj. Ali (IPD Ledang), En. Mohd. Fauzi B. Sulaiman (AADK Muar) dan  Koperal Adawiyah (Rakan Cop).











Ahad, 7 November 2010

PROGRAM LAWATAN Y.A.B. TAN SRI DATO' HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD. YASSIN KE GERSIK

6 NOVEMBER 2010 - Warga Gersik telah menerima kunjungan mesra daripada Timb. Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin B. Hj. Mohd. Yassin yang disambut dengan meriah dengan paluan kompang dan silat dari ahli Persatuan Belia Geliga Gersik.







Y.A.B Tan Sri juga telah merasmikan Gelanggang Serbaguna Geliga Gersik dengan menamakannya 'GELANGGANG HJ. YUSOF MD. SOM' sempena nama lagenda pendokong Persatuan Belia Geliga Gersik ke peringkat tertinggi dalam rentetan sejarahnya yang gemilang dimana Y.A.B. Tan Sri dan isteri, Puan Sri Norainee sudi berjumpa dengan balu Allahyarham. Al-Fatihah




Majlis diteruskan dengan Persembahan Tarian Zapin dan 'Chicken Dance' daripada murid-murid TASKA Gersik yang comel dan cerdas belaka.








 Kemudian, tibalah saat yang dinantikan apabila Kumpulan Gitar Rancak 'GSS GROUP' naik kepentas dan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.



 

Ternyata lagu yang dibawa iaitu 'WIDURI' dan 'BOSSANOVA' adalah satu persembahan yang mantap dan menghiburkan kerana dalam masa yang sama kesemua tetamu jemputan amat berselera menjamu hidangan yang tidak kurang hebatnya seperti ubi rebus cicah sambal tumis, roti jala lawan kari ayam dan kuih-muih yang tidak terkata nikmatnya. Al-hamdulillah



Akhir sekali, kenangan yang indah ini diabadikan dalam sesi bergambar bersama Y.A.B. Tan Sri dan Puan Sri dengan harapan ia akan menjadi kenangan yang abadi.

Isnin, 11 Oktober 2010

PERTANDINGAN FUTSAL 1BELIA 1MALAYSIA PARLIMEN PAGOH

10/10/2010 - Pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia Parlimen Pagoh telah berlangsung di Gelanggang Sukan Pelbagaiguna (GSP) Geliga Gersik dimana 2 kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Perempuan.

PBGG telah menghantar satu pasukan untuk setiap kategori yang dipertandingkan dimana mendapat sokongan padu ahli dan penyokong PBGG.



Majlis Penyampaian Hadiah diserikan dengan dirasmikan oleh YB Tn. Hj. Tahir B. Mohd. Taat, ADUN Bkt. Serampang yang juga Penaung PBGG. Turut hadir ialah En. Ashraf B. Mokhtar mewakili Majlis Belia Daerah Muar.

Setelah mengharungi perlawanan peringkat kalah mati, pasukan wanita Geliga FC telah mendapat tempat keempat dimana Johan Kategori Wanita dimenangi oleh pasukan Pagoh FC.



Ternyata percaturan Pasukan Lelaki Geliga FC membuahkan hasil apabila layak ke final seterusnya menjadi Naib Johan dimana Pasukan Sungai Raya FC telah dinobatkan sebagai Johan setelah memenangi perlawanan akhir dengan jaringan 2-1.



YB Tn. Hj. Tahir juga sudi menyampaikan cenderahati kepada panel pengadil daripada Persatuan Pengadil Daerah Ledang serta saguhati tuanrumah kejohanan kepada PBGG. Terimakasih.